Maksud Kelajuan dan Unit Ukuran Kelajuan

Objek yang berlainan bergerak dengan kelajuan yang berbeza. Kelajuan bermaksud ukuran cepat atau lambat sesuatu objek yang bergerak dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain.

  • Kereta yang bergerak perlahan adalah kurang laju dan akan mengambil masa yang lebih lama untuk sampai ke destinasinya.
  • Jika motosikal dan basikal bergerak dengan kelajuan yang sama, masa yang diambil untuk tiba ke destinasi adalah sama.

Unit Kelajuan

Kelajuan melibatkan ukuran jarak dan masa sesuatu objek bergerak. Unit ukuran bagi kelajuan ialah gabungan kedua-dua unit jarak dan masa.

Unit Ukuran Jarak / PanjangUnit Ukuran Masa
milimeter (mm) | milimetre (mm)saat (s) | second (s)
sentimeter (cm) | centimetre (cm)minit (m) | minute (m)
meter (m) | metre (m)jam (j) | hour (h)
kilometer (km) | kilometre (km)
Unit Ukuran Piawai – istilah bahasa Melayu | istilah bahasa Inggeris

Antara unit kelajuan yang biasa digunakan ialah sentimeter per saat (cm/s), meter per saat (m/s) dan kilometer per jam (km/j).

Objek BergerakUnit kelajuan
Siput bergerak sejauh 2 sentimeter dalam masa 1 saat. Maka, unit kelajuan pergerakan siput ialah cm/s. Kelajuan siput ialah 2 cm/s
Tupai dapat bergerak sejauh 12 meter dalam masa 2 saat. Maka, unit kelajuan pergerakan tupai ialah m/s. Kelajuan tupai ialah 6 m/s
Kuda dapat bergerak sejauh 77 kilometer dalam masa 1 jam. Maka, unit kelajuan pergerakan kuda ialah km/j. Kelajuan kuda ialah 77 km/j
  • Unit kelajuan kilometer per jam (km/j) tidak sesuai digunakan untuk mengukur kelajuan pergerakan siput kerana siput bergerak terlalu perlahan.
  • Objek yang bergerak laju seperti kuda dan kereta pula lebih sesuai diukur dengan menggunakan unit kilometer per jam (km/j) berbanding sentimeter per saat (cm/s) ataupun meter per saat (m/s).

Kenderaan seperti kereta dan motosikal mempunyai meter kelajuan (speedometer) untuk membolehkan pemandu mengetahui kelajuan kenderaan tersebut bergerak.

Speedometer ini mempunyai jarum yang akan bergerak yang menandakan kelajuan kenderaan.

Jika jarum menunjukkan angka 80, ianya bermaksud kenderaan tersebut bergerak dengan kelajuan 80 kilometer per jam (80 km/j).

km/h seperti terdapat dalam gambar ini ialah unit kelajuan dalam istilah bahasa Inggeris iaitu kilometre per hour.

2 responses to “Maksud Kelajuan dan Unit Ukuran Kelajuan”

  1. Mrfezz Avatar
    Mrfezz

    Persoalannya jika jarak sesuatu kenderaan bergerak dengan kelajuan 80 kmj… adakah tepat jarak 80 kilometer dicatat dalam ukuran jaraknya diatas permukaan bumi untuk masa 1jam.

    1. Ali. Avatar

      Tak semestinya sebab dalam situasi sebenar, jarak kenderaan bergerak akan turut dipengaruhi oleh faktor luaran lain. Tapi secara teori dan idealnya, jika suatu kenderaan itu bergerak secara berterusan dengan kelajuan 80 kmj tanpa sebarang gangguan, jarak yang dilalui kenderaan itu dalam masa sejam sepatutnya akan tepat 80 km.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *